DALAM KEHILANGAN, KU TEMUI IMAN DAN NUR-MU..

aku suka menulis,aku menulis untuk diri sendiri,untuk kepuasan hati dan untuk dikongsi pada yang sudi..

aku mungkin berkias dalam untaian kata-kata..kadangkala sukar untuk kau fahami ertinya...

aku menulis adalah cara bagiku untuk meluahkan rasa,melukis isi hati dan kurangkaikan kata-kata yang hanya seindah biasa.....

Thursday 31 January 2013

Bukan Waktunya yang Tepat




Andai kita seorang ayah. Yang sangat mengasihi dan prihatin terhadap anaknya. Apakah kita sanggup membiarkan anak kita yang baru belajar bertatih berkeliaran di luar rumah sendirian tanpa pantauan? 

Apakah kita akan sengaja membukakan pintu agar dia boleh ke luar rumah sewenang wenangnya? Biarpun dia menangis dan merengek meminta pintu dibuka, merayu menagih simpati dari kita. Kita tetap juga tidak akan membuka pintu dan membiarkan dia keluar kerana kita tahu bahaya yang menanti di luar sana. 

Biarlah dia menangis hingga bengkak matanya. Kita enggan membukakan pintu untuknya.

Andai kita seorang ibu.. Yang sangat mengerti dan memahami kehendak anaknya. Apakah kita sanggup membiarkan anak kita yang belum tahu apa2 bermain dengan kertas dan mancis? Apakah kita akan memberikan mereka gunting yang tajam apabila mereka memintanya? Atau mancis yang bisa mencipta api apabila mereka meminta mancis? 

Tentulah tidak kerana kita tahu bahaya akibat gunting dan mancis andai salah cara menggunakannya.

Dan kita juga tahu, mereka masih belum tahu apa apa.

Masa terus berjalan dan seiring dengan itu, anak kita juga turut membesar. Bukan saja fizikalnya, emosinya dan pemikirannya juga kian berkembang. Mereka telah banyak kali terjatuh dan bangkit dari kejatuhan. Mereka telah banyak kali menangis dan sering juga ketawa dalam tangisan. Mereka telah belajar banyak perkara dan kini kita tahu, mereka sudah tahu membezakan mana yang baik dan mana yang sebaliknya. Kita tahu mereka sudah belajar banyak perkara sepanjang hidup mereka.

Dan kini mereka meminta kebenaran untuk bermain di luar rumah. Tanpa rasa ragu, kita bukakan pintu untuk mereka. 

Kerana kita tahu mereka sudah cukup kuat untuk bangun andai terjatuh, Kita tahu mereka boleh berlari menyelamatkan diri andai ada bahaya mendatang. Kita tahu mereka sudah cukup dewasa. Kita izinkan kerana ini adalah masa yang tepat.

Mereka meminta mancis dan gunting. Kita juga berikan kepada mereka. Tanpa perlu bertanya dan bersoal jawab. 

Kerana kita tahu mereka tahu apa gunanya gunting dan mancis. Kita tahu mereka sudah dapat berfikir dan menilai sendiri. Kita berikan kepadanya kerana ini adalah masa yang tepat.

Itu sekadar kisah picisan antara ibu dan ayah, dengan anak mereka..

Bagaimana pula dengan 'kisah' Sang Pencipta dengan hamba ciptaanNya?

Kita sebagai hamba sering berdoa dan memohon dari Sang Pencipta. Banyak yang kita harapkan dan inginkan. Banyak yang kita minta dariNya...

Namun, apakah semua doa doa kita dimakbulkan? Sungguh.. Tidak semua impian jadi kenyataan..

Adakah kerana Dia kejam, maka Dia sengaja tidak menunaikan doa doa kita? Atau kerana Dia tidak kasihkan kita, maka doa2 kita terabai??

Tidak.. Bukankah Allah telah berfirman dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang maksudnya berbunyi;

"Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."

Percayalah. InsyaAllah, doa2 kita akan diperkenankan, cuma soalnya, bila dan bagaimana ia dimakbulkan, hanya Dia yang Maha Mengetahui segalanya.

Mungkin hari ini, kita berasa kita sudah cukup siap dan bersedia dalam segenap hal. Kita rasa kita sudah cukup bersiap siaga untuk bergelar seorang isteri atau seorang suami, malah tidak sabar sabar untuk menyandang gelaran seorang ibu atau seorang ayah. 

Namun kita merintih dan kecewa. Bilamana jodoh yang diharap harapkan tetap juga tidak kunjung tiba. 

Kita yakin bahawa kita sudah layak untuk mencapai pangkat beserta gaji yang tinggi. Kita berasa bahawa kita berkemampuan dan berkebolehan untuk menyandang jawatan yang lebih tinggi.

Namun kita mengeluh kerana gaji tetap juga ditakuk yang sama, jawatan juga tetap di paras yang lama.

Jangan bersedih. Usah berputus asa.

Jangan menghukum diri dan berburuk sangka pada Allah. Kerana sesungguhnya, pengetahuan kita sangat terhad sedangkan Allah Maha Mengetahui atas segalanya.

Mungkin kita berasa kecewa kerana doa kita tidak dimakbulkan. Kita sedih kerana jodoh tidak juga datang, tapi siapa tahu, mungkin dengan hidup sendirian ini lebih baik buat kita untuk sentiasa muhasabah diri dan mendekatkan diri pada Ilahi. Kita kecewa kerana pendapatan kita tidak bertambah, tapi siapa tahu, mungkin dengan hidup berserderhana ini lebih membuatkan hati kita menjadi tenang dan lebih banyak mengingatiNya..

Yang pahit, jangan segera dibuang kerana mungkin terselit penawar di sebalik kepahitan itu.

Yang manis, jangan terus ditelan kerana mungkin terkandung racun di sebalik kemanisan itu.

Renung renungkan....

Selamat menanti waktu yang tepat.. Moga segera tiba saat itu.

Kita yang Memilih




Hidup adalah anugerah dari Ilahi. Biar apa pun jua rintangan yang menghalang, hidup harus juga diteruskan.

Kita boleh saja memilih untuk mengalah, kerana itu yang paling mudah. Siapa pun bisa lakukannya! Kita juga boleh saja memilih untuk mengasingkan diri, menangis dan meratapi nasib diri. 'Untung' nasib boleh jadi gila, 'selesai' semua masalah!




Tapi kerana kita hidup berTuhan. Syukurlah. Allah sentiasa ada bersama. Bila kita sakit, Dia menyembuhkan. Bila kita lapar, Dia memberi kita makan. KataNya, bersama kesulitan ada kemudahan. Lalu kita percaya dan yakin. Maka, semua beban menjadi ringan. Dan langkah kaki terus kita atur. Mara ke hadapan. Mencari sebuah destinasi.


Ubat walaupun pahit, kita telan jua kerana ia adalah penawar menyembuhkan penyakit. 


Bukan mudah untuk mudah. Tidak payah untuk payah. Namun, buatlah pilihan dengan penuh berhikmah. Tepuk dada tanya iman. Dipandu akal yang waras tanpa mengabaikan naluri dan keinginan seorang insani.

Aku tak yakin bahagia akan menjemputku dalam kehidupan ini, tapi aku tetap juga akan teruskan langkahku. Kerana aku percaya, pengakhiran hidupku bukanlah mati. Tapi syurga atau neraka.


Akanku katakan pada mataku, jangan menangis. Akanku bisikkan pada hatiku, jangan bersedih. Akanku pujuk akalku, Allah sayang padaku.

Tuesday 29 January 2013

Bilakah Izrail Mencabut Nyawa?


Izrail, salah satu nama malaikat yang diketahui umat Islam. Tugasnya sudah tentu mencabut nyawa selain beribadah kepada Allah, tuhan semesta alam. Mungkin ramai yang tertanya bagaimanakah Izrail mampu mencabut nyawa makhluk yang terlalu banyak di muka bumi Allah ini bukan? Ya, dia mampu mengambil nyawa kerana kekuasaan untuk mencabut nyawa yang telah Allah berikan padanya sama banyak dengan makhluk yang Allah ciptakan.
Dikisahkan, ketika Allah mencipta Al-Maut (kematian) dan menyerahkan kepada Izrail, maka berkata malaikat Izrail,
“Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?”.
Maka Allah menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka,
“Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?”
Kemudian Allah SWT berfirman:“Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu”.
Kemudian Allah memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut. Walau bagaimanapun, Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut lebih agung daripadanya. Kemudian Allah memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya. Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya.

Tanda-tanda kematian seseorang
100 hari sebelum kematian:
Ini adalah tanda pertama dari Allah kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.
40 hari sebelum kematian:
Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
7 hari sebelum kematian:
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.
3 hari sebelum kematian:
Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
1 hari sebelum kematian:
Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda akhir sebelum kematian:
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Apabila Izrail mencabut nyawa
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda,
“Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu.”

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi,“Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya”.
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:

“Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah”.
Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai malaikat maut, kamu cabutlah rohnya dari arah lain”.
Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan:

“Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan”.
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:

“Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu”.
Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:

“Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir”.
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:

“Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah”.
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah. Kemudian Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai malaikatKu, tulis Asma-Ku ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu”.
Sebaik saja mendapat perintah Allah maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah. Setelah melihat Asma Allah dan terbitnya rasa cintanya kepada Allah maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Tempat tinggal roh
Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:
“Roh itu menuju ketujuh tempat”:

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin. 2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus. 3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina. 4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka. 5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat. 6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik. 7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam Neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya sampai hari Kiamat.
Telah bersabda Rasullullah S.A.W:

“Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya”:
1. Orang-orang yang mati syahid. 2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan. 3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Monday 28 January 2013

Misteri Penghuni Bumi Sebelum Manusia

Perhatian : Artikel ini mengandungi teori-teori yang mana pada sesetengah pembaca sukar untuk menerimanya kerana ia mungkin sesuatu yang baru pada mereka. Perlu diingatkan, artikel ini tidak langsung melanggar syariat dan kepercayaan kita sebagai Umat ISLAM. Pembaca adalah digalakkan agar menggunakan budi bicara masing-masing.


Jika pembaca antara salah seorang yang percaya kewujudan Dinosaur, pembaca juga adalah salah seorang antara jutaan manusia yang percaya wujudnya hidupan sebelum Nabi Allah, Adam as. Kemungkinan ramai antara pembaca semua tidak sedar akan hakikat ini bukan?.

Persetujuan daripada ahli arkeologi menyatakan bahawa tamadun pertama yang wujud di muka bumi adalah tamadun Mesopotamia iaitu sekitar 4000BC. Jika sekarang kita berada di tahun 2013, ini bermakna tamadun Mesopotamia adalah berusia :

4000BC+2010AD=6010 tahun


Dan ia juga bermakna, Tamadun Mesopotamia telah mencapai usia 60 abad. Manakala, agama pertama di dunia iaitu agama Hindu telah dibentuk seawal 3000BC iaitu ketika permulaan tamadun Indus di India. Disebabkan agama Hindu terlampau awal dibentuk, sehingga kini tidak diketahui siapakah sebenarnya pengasas agama Hindu ini. 

Agama Hindu yang terdapat pada hari ini tidaklah sama dengan agama Hindu yang pada mula-mula ia diasaskan. Sepertimana agama lain, kecuali Islam, setiap agama mengalami perubahan bahkan terdapat agama yang mengalami perubahan yang ketara sepertimana agama Yahudi dan Kristian. Disebabkan agama Hindu adalah agama tertua di dunia, ahli arkeologi yang ingin menyelidik tamadun-tamadun purba akan mengkaji terlebih dahulu kitab-kitab purba agama Hindu terutamanya Veda dan itulah yang berlaku sekarang.

Dalam kitab Taurat dan Injil dalam Book of Genesis, umur Nabi Adam as ada dinyatakan. Nabi Adam as dikatakan hidup di bumi selama 930 tahun sebelum baginda wafat. Bergitu juga dengan Hawa yang wafat hampir dengan usia Nabi Adam. Namun, di dalam al-Quran tidak pula dinyatakan usia Adam namun Rasullulah SAW pernah menyatakan dalam sabdanya bahawa umur umat terdahulu adalah panjang dan sihat pula tubuh badan mereka.

Rabbi daripada agama Yahudi sepakat menyatakan bahawa umur Adam as diturun ke bumi adalah sekitar 4000BC selari dengan tamadun pertama di dunia di Mesopotamia iaitu juga sekitar 4000BC. 

‘ADAM’ SEBELUM ADAM

Berkenaan dengan penciptaan Adam, majoriti ulama Islam percaya bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dengan lengkap di Syurga. Mereka kemudiannya dihantar ke bumi selepas memakan buah yang terlarang. Keturunan mereka mengisi populasi bumi dan memulakan sejarah manusia.

Akan tetapi Allah SWT tidak menjelaskan di dalam al-Quran bagaimanakah Adam itu dicipta. Adakah dia dicipta secara berperingkat atau dengan satu proses sahaja? Sebahagian ahli Tafsir mendatangkan pandangan bahawa ketika Allah SWT mencipta Adam, tubuh Adam itu dibiarkan selama 40 tahun sebelum ditiupkan ke dalamnya roh. Di sini kita boleh melihat dengan jelas pengaruh tradisi Ancient Persianterhadap tafsiran berkenaan.

Terdapat juga sebahagian daripada ulama Islam yang menjelaskan bahawa Adam bukanlah manusia pertama yang dicipta di muka bumi. Mereka berpandangan bahawa ratusan ribu ‘Adam’ telah wujud sebelum Adam bapa kita. Setiap satu ‘Adam’ itu telah mempunyai keturunan dan kehidupannya, mereka telah musnah sepenuhnya dan digantikan dengan ‘Adam’ yang berikutnya sehinggalah tiba kepada Adam, bapa kita. Adam bapa kita, dianggap sebagai pusingan terakhir siri ‘Adam’ di muka bumi.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Adam dan Hawa dicipta bukan di Syurga tetapi di muka bumi dan daripada bumi.

(Lihat al-Maqdisi: Al-Bad’ wa al-Tarikh dan Ibn al-‘Arabi: al-Futuhat al-Makkiyyah)

Ikhwan al-Safa juga ada menghuraikan tentang hal ini. Mereka menyatakan bahawa semua haiwan dicipta dari tanah liat kering dan membiak di kawasan Khatulistiwa yang tidak terganggu oleh perubahan cuaca yang ektrim. Hal ini memberi ruang kepada pembiakan. Di dalam suasana inilah Adam tercipta (takawwana). Ikhwan al-Safa juga berpendapat bahawa Adam dan Hawa hidup di peringkat pertama kehidupan mereka di bumi (Rasaa’il Ikhwan al-Safa, jilid muka surat 181, 229. Ada kemungkinan konsep ini diambil dari Bible kerana di dalam Bible, Syurga itu adalah Garden of Eden di mana Adam dan Hawa hidup dalam keadaan yang suci)

ZAMAN DINOSAUR?

Jika dari awal tadi penulis berkata bahawa tamadun pertama di dunia adalah berusia 4000BC. Sekarang, pembaca akan terkejut apabila menyedari bahawa zaman Dinosaur adalah jauh lebih lama daripada itu. Penemuan rangka-rangka dinosour di serata dunia membuatkan saintis percaya bahawa haiwan ini pernah mendiami bumi ini 61 juta tahun sebelum manusia.

Arkeologi sepakat menyatakan bahawa kepupusan secara besar-besaran Dinosaur adalah pada 65 juta tahun yang lampau. Penulis ingin menekankan ayat ini iaitu Kepupusan. Kepupusan adalah suatu titik di mana sesuatu spesies lenyap tanpa meninggalkan keturunan. Inilah yang berlaku kepada Dinosaur.

Eskavasi di tapak arkeologi yang menempatkan tulang-tulang Dinosaur kebanyakkannya mempunyai tarikh Karbon-12 yang berusia 65 juta tahun yang lalu. Ia seterusnya membuatkan ahli arkeologi sepakat mengeluarkan kenyataan bahawa Dinosaur mula pupus sekitar 65 juta tahun yang lampau.

Namun apa yang mengejutkan sebenarnya adalah tarikh kepupusan iaitu pada 65 juta tahun yang lampau itu. Berbanding dengan permulaan tamadun manusia yang hanya bermula 4000BC, ia bagaikan langit dan bumi berbanding tarikh kepupusan Dinosaur.

Seperti penulis tekankan di awal artikel tadi, barang siapa yang percaya Dinosaur wujud, maka beliau adalah salah seorang daripada ribuan malah jutaan manusia yang percaya terdapatnya hidupan sebelum wujudnya manusia. Dan tarikh kepupusan Dinosaur membuktikan segala-galanya.
Perlu diketahui bahawa ia adalah tarikh (jangka masa) kepupusan Dinosaur. Bagaimana pula tarikh permulaan hidupan Dinosaur?. Bagaimana pula dengan usia Bumi?. Apabila difikirkan daripada logik akal dan logik nakli, sememangnya terdapat hidupan sebelum turunnya Adam as ke bumi Allah ini. Pernahkah pembaca mendengar perdebatan antara malaikat dan Allah SWT semasa Allah mencipta Adam as? 

MALAIKAT BERTANYA KEPADA ALLAH SWT 

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah 2: 30)

Baris ayat “orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah” daripada hujah para Malaikat telah menimbulkan seribu satu persoalan. Bagaimana Malaikat boleh mengetahui tentang rahsia masa depan manusia sedangkan hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui?.

Meskipun malaikat memiliki keistimewaan berada di Syurga dan Arasy Allah namun pembaca jangan lupa bahawa malaikat tidak boleh mengetahui rahsia masa hadapan tanpa izin Allah. Hijab Allah sentiasa tertutup untuk makhluk-Nya kerana ia adalah perancangan Allah swt untuk perjalanan setiap makhluk-Nya.

Jadi, bagaimana malaikat boleh mengetahuinya?

HARI-HARI TERAKHIR BUMI SEBELUM TURUNNYA ADAM - MUHAMMAD ISA DAWUD

Cendiakiawan agama terutama Muhammad Isa Dawud (MID) percaya bahawa terdapatnya hidupan sebelum penciptaan Adam. Dalam buku bertajuk "Siapa penghuni Bumi Sebelum Manusia" karya MID, ada persoalan yang dibangkitkan iaitu bagaimana malaikat tahu bahawa hamba Allah yang bakal dicipta nanti (Adam & keturunannya) akan membuat ‘kerosakan’ dan ‘menumpah darah’ (berperang). Ini membuktikan sudah ada kehidupan makhluk lain sebelum manusia yang telah diturunkan syariat Islam. Cuma bezanya makhluk sebelum Adam berbeza dari segi jasad dan kemampuan intelektual. Namun mereka derhaka kepada Allah SWT selepas Allah melimpahkan kemewahan dunia kepada mereka. Akibat kebiadapan mereka menyekutukan, Allah SWT telah mengazab mereka dengan ‘kiamat’ untuk keseluruhan mereka sehingga tidak tertinggal walau sedikitpun.
Gambar (di atas) Saintis menunjuk uranium-uranium yang terurai (lihat batuan kuning) yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang lampau di Oklo, Afrika.

Menurutnya ijtihad MID, perpecahan dan peperangan atom sudah terjadi dan menyaksikan kerosakan bumi yang teruk dan hanya beberapa tempat yang selamat. Ledakan itu jugalah yang menghancurkan sebahagian besar peninggalan peradaban sebelum Adam. Beberapa manuskrip dari Sweeden turut dilampirkan sebagai bukti walaupun ia masih dalam perdebatan para cendekiawan.

Adakah selepas tamatnya zaman dinosaur, kemudian muncul pula zaman jin?. 

JIN PENGHUNI BUMI SEBELUM MANUSIA 

Masih lagi berpandukan pada hujah MID dalam bukunya, disini kita boleh merenung serta membahaskan beberapa fakta dan hujah yang dikemukakan oleh beliau. MID menegaskan bahawa, Iblis adalah bangsaJin yang dididik oleh malaikat sehingga ‘alim seperti malaikat, namun sifat takabburnya telah membuatkan Allah murka dan melaknatnya sehingga akhirat. Dengan itu, Iblis berikrar akan berusaha menyesatkan anak-anak Adam. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam At-Tabari.

Taurat Kuno menyebut sebuah lagenda yang mengatakan semasa penghijrahan Nabi Musa a.s. bersama 70 orang Bani Israel, sebahagian pengikut Musa telah melihat gambar-gambar yang aneh di dasar Sungai Nil. Dari gambaran penglihatan mereka gambar-gambar itu mengisahkan kehidupan peradaban sebelum kedatangan Adam. Namun, Nabi Musa melarang mereka untuk melengah-lengahkan perjalanan kerana bimbang tentera Firaun akan sempat mengejar mereka. Pengikut-pengikut Musa yang telah melihat gambar-gambar itu telah menulisnya di dalam manuskrip-manuskrip dan diwarisi oleh anak cucu mereka.

Fahta serta hujah berkenaan dengan kemampuan jin dalam menghasilkan teknologi atom dan fusion turut dikemukakan oleh MID. Persoalannya disini ialah, adakah kesan radioaktif yang ditemui di beberapa buah lokasi di dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini merupakan suatu 'peninggalan' dari tamadun spesis makhluk yang disebut sebagai 'jin'?.

MID mengakhiri hujah dalam bukunya dengan satu kesimpulan yang kukuh : 

“Nabi Adam telah turun ke bumi sejak berjuta-juta tahun yang dahulu dan sebelum turunnya Adam, bumi telah dihuni oleh makhluk mukallaf yang juga diturunkan syariat agama iatu Jin. Bangsa Jin telah membangunkan peradaban-peradaban yang moden sehingga menuntut mereka engkar terhadap seruan Allah. Mereka (Jin) bertelagah sesama sendiri sehingga terjadinya ledakan atom yang menghancurkan sebahagian besar peninggalan peradaban mereka.
Kemudian Adam diturunkan dan dalam masa yang sama Allah memperkenankan doa para Jin yang mahukan diri mereka tidak dapat dilihat oleh manusia. Maka Muhammad Isa Dawud ingin memahamkan kita peradaban yang maju yang tersisa hingga sekarang itu ialah peninggalan bangsa Jin kerana hanya golongan jin yang dapat terbang ke langit, hidup di lautan dan berlari sepantas kilat.”
PENEMUAN YANG MENGEJUTKAN
Rangka berusia 10,000 tahun- Young Hol Chan 

Pada 2006, dua orang penyelam Jerman telah tidak sengaja menemui rangka manusia yang mempunyai saiz kanak-kanak. Dua penyelam daripada Jerman ini sebenarnya ingin menjelajah satu Cenote di Mexico. Cenote adalah lubang besar yang ditenggalami air disebabkan oleh luluhawa dan perubahan rupabumi. Rangka kanak-kanak itu ditemui dalam satu gua di dalam Cenote tersebut.
Rangka kanak-kanak ini ditemui di gua bawah tanah dekat Tulum, Mexico. Rangka kanak-kanak yang digelar Young Hol Chan telah diakui oleh pakar-pakar arkeologi sebagai rangka kanak-kanak tertua yang pernah ditemui di benua Amerika. Rangka itu berusia 10,000 ribu tahun.!

Berbanding dengan usia tamadun pertama iaitu sekitar 6010 tahun, rangka ini sebenarnya telah membuka kunci rahsia tentang ‘manusia’ sebelum kedatangan Nabi Adam as. 
Rangka berusia 26,000 tahun- Red Lady 

Pada 1823, seorang professor Geologi di Universiti Oxford, William Buckland telah menemui rangka manusia yang dianggar berusia kira-kira 18,000 di sebuah gua di Goat’s Hole Cave di Pavillon, Gower. Di gua inilah rangka yang berusia 26,000 tahun itu dijumpai.

Namun, baru-baru ini para pakar telah sekali lagi membuat kajian mengenai usianya dengan menggunakan alatan yang terkini. Apa yang mengejutkan adalah usianya sebenarnya adalah 4000 tahun lebih tua daripada yang diketahui dahulu iaitu 26,000 tahun!.
Gambar (di atas) adalah rangka Red Lady dianggarkan berusia 26,000 tahun. Satu yang menarik mengenai rangka purba ini adalah rangka Red Lady sebenarnya adalah rangka seorang pemuda dan bukan rangka seorang wanita sebagaimana namanya. 
Gambar (di atas) 600 lukisan purba di Lascaux Cave di Dordogne River Valley, Perancis telah direkodkan mempunyai usia 17,000 tahun. Ia ditemui tidak sengaja oleh dua orang remaja pada 1940. 

MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH DI MUKA BUMI

Manusia telah awal-awal lagi, Allah SWT nyatakan bahawa sebagai wakil Allah SWT di muka bumi. Sememangnya penulis sangat bersetuju tentang kewujudan makhluk sebelum Adam as namun tidaklah pula penulis bersetuju tentang teori evolusi yang Charles Darwin asaskan. Bagi penulis, makhluk yang dicipta sebelum Nabi Adam adalah makhluk misteri. Ada kemungkinan menyerupai manusia, ada pula kemungkinan menyerupai haiwan akan tetapi yang pasti adalah mereka telah melakukan kerosakkan di muka bumi. Antara kerosakan yang pernah mereka lakukan adalah peperangan dan perebutan kuasa.

 Baru-baru ini, saintis bergitu terkejut dengan penemuaan rangka-rangka manusia yang bergelimpangan di Mohenja-Daro di Lembah Indus. Apabila diselidik, rangka tersebut telah dicemari dengan radioaktif akibat letusan nuklear. Apakah makhluk purba pernah menggunakan senjata canggih sehingga menghuru-harakan bumi Allah swt ini?
Bagaimana dengan Dinosaur?. Apa yang penulis boleh simpulkan mengenai haiwan gegantik yang digelar Dinosour ini adalah haiwan ini kemungkinan wujud sebelum wujudnya ‘makhluk’ yang melakukan kerosakan tersebut. Ini bermakna, sebelum wujudnya Adam as sebagai khalifah di muka bumi, telah wujud berpuluh-puluh makhluk yang Allah SWT wakilkan di muka bumi ini. Namun, sayangnya, mereka semua leka dengan nikmat Allah swt dan akhirnya musnahlah tamadun mereka diazab Allah swt.

Akhirnya, manusia adalah wakil terakhir Allah SWT di muka Bumi ini. Dan kita sebagai umat Muhammad pula adalah khalifah terakhir daripada wakil terakhir Allah swt di muka bumi sebelum Allah swt ‘sediakan’ kiamat untuk kita semua. Sesungguhnya, Adam as bukanlah makhluk pertama tetapi ia adalah manusia pertama di muka bumi. Waallahualam..

Ciri-Ciri Pemimpin Islam

Umat Islam amat memerlukan kalangan pemimpin yang adil, takwa dan taat kepada suruhan Allah SWT, melaksanakan hukum-hukum Allah dan syariat Allah serta menjauhi segala larangan-Nya, kerana kelak di akhirat, jika mana2 pemimpin melanggar amanah Allah dan rakyat jelata,akan ditanya Rabbul Jalil akan peranan dan sumbangan kepada agama Islam, negara dan rakyat. Pemimpin perlu memiliki ilmu utk mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi, bertugas sebagai pekerja kepada rakyat dan bukannya atas sebarang kepentingan diri, hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT. 


Kewajipan melantik pemimpin yang adil adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah ,ini kerana pemimpin adalah merupakan khalifah Allah yang melata diatas muka bumi Allah ini.Kepincangan dalam pemilihan ini sebenarnya boleh membawa kepada lenyapnya keadilan dan keamanan dan seterusnya akan meletusnya kemungkaran dan kerosakan yang tidak terhingga.Maka tidak hairanlah ,Islam telah menjanjikan kedudukan yang tinggi kepada para imam yang adil dan mereka inilah pewaris para nabi yang sentiasa menjaga kesucian agama Allah daripada terus dicemari.Sabda Rasulullah dalam hadisnya:

"Orang yang paling disayangi oleh Allah pada hari kiamat dan paling rapat kedudukan nya dengan Allah kelak ialah para imam yang adil". (Riwayat Tarmizi)

Justeru, Islam telah melakarkan kepada kita beberapa ciri yang perlu ada pada umara-rabbani ini.:antaranya:
1 . Islam . Pemimpin itu mestilah seorang muslim yang benar-benar menghayati agamanya. Ini kerana islam tidak membenarkan adanya golongan kafir yang memerintah umat Islam.

2 . Adil . Sifat ini perlu dimiliki oleh pemimpin umat islam, ekoran begitu pentingnya tampuk pemerintahan yang dipegangnya itu. Ia adalah ibarat penyaksian kepada terlaksananya hukum Allah atau tidak dimuka bumiNya ini. Sebagimana syarat penerimaaan syahadah dalam hukum jenayah memerlukan sifat adil ini, maka apatah lagi tugas besar memimpin umat Islam.

3 . Ilmu. Golongan ulama dan umara perlu digabungkan untuk membentuk satu kesatuan bersepadu merencanakan arah geraknya masyarakat Islam didalam kehidupan seharian. Apatah lagi kalau sifat ini dimiliki pula oleh seorang pemimpin yang berwibawa dan berhemah tinggi.

4 . Melaksanakan hukum Allah.

5 . Bersikap sama rata dan tidak berlaku zalim.

Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-imam Hasan al Basri kepada Amirul Mukminin –Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang apakah kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam dengan katanya,

" Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi. Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."


Beginilah sahsiah yang kita cari, dan inilah kriteria kepimpinan yang diimpikan oleh Islam dalam masalah ini.Cuma apa yang diharapkan ialah mereka ini mampu untuk melaksanakan perintah dan hukum Allah diatas bumi ini.

Sunday 27 January 2013

Ya Allah matikan aku di dalam kalimah syurgaMu


Kebaikanku bukan untuk mendapat pandangan manusia 
tapi redha Allah yang kuharapkan.

Ketidaksempurnaanku dalam apa jua perbuatan dan 
tutur kata kumohon pada semua manusia agar maafkan 
aku dan mohon Allah ampunkan aku segala kesalahanku 
sepanjang aku hidup di dunia ini.

Moga manusia maafkan aku dan Allah ampunkan aku 
kerana aku mahu mati tanpa ada permusuhan dengan manusia 
dan dimurkai Allah selama aku berhidup di muka bumi ini.

Ya Allah jika kuberhidup di muka bumiMu ini hanya untuk 
menyakitkan hati manusia dan berniat jahat pada mereka ...
kau ambillah nyawaku ...

Ya Allah telah kuserahkan segala jiwa ragaku padaMu...
hidup matiku hanyalah untukMu. 
Kupasrah segala takdir yang telah Kau tentukan padaku.

Ya Allah ....hanya Kau Yang Maha Tahu siapa aku...
cuma yang ku mohon padaMu sebelum Kau menjemputku...
matikan aku dalam kebaikan dan dapat mengucap kalimah SyurgaMuu 
LaaillahaillaAllahMumaddarRasullullah. 
Amin Ya Rabbal A'Lamin.

Tangisan Ahli Neraka Amat Dahsyat


 

PENJENAYAH di penjara memiliki gelaran paling buruk yang diberi oleh masyarakat kerana membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun bertaubat atau tamat tempoh tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas banduan ini. Kalau pun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.

Dapatkah bayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah nanti?

Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?

Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud:

"Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali." (Surah al-Hajj, ayat 48)

 

Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.

Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?


"Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: "Tahukah kamu semua suara apakah itu?" Kami menjawab: "Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda yang maksudnya: "Itu adalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya." Hadis riwayat Imam Muslim

Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.

Mengapakah mereka memilih kesenangan haram yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud; 

"Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung." (Surah al-Hajj, ayat 47)

Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan daripada keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anaknya?

Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.


Mereka merayu kepada Tuhan: "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim." (Surah al-Mukminun, ayat 107)

Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: 
"Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku." (Surah al-Mukminun, ayat 108)

Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah .

Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.Balasan Allah sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dulunya terngadah sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan bengkak serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah ? Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan saja.


1. Pemimpin yang adil.
2. Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah semasa hidupnya.
3. Seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan Masjid.
4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah , keduanya berkumpul & berpisah kerana Allah
5. Seorang lelaki yang diajak oleh seorang perempuan cantik & berkedudukan untuk berzina tetapi dia berkata, "Aku takut kepada Allah ".
6. Seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
7. Seseorang yang mengingat Allah di waktu sunyi sehingga bercucuran air matanya.